31 PATI Ditahan Dalam Operasi Bersepadu di Kota Kinabalu dan Sipitang

31 PATI Ditahan Dalam Operasi Bersepadu di Kota Kinabalu dan Sipitang

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan berasingan yang dijalankan di Kota Kinabalu dan Sipitang menerusi Ops Sapu, Ops Kutip dan Ops Selera baru-baru ini.

Di Sipitang, seramai 24 warga asing warganegara Filipina ditahan selepas pemeriksaan terhadap 30 individu.

Mereka terdiri daripada enam lelaki dewasa, tujuh perempuan dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.

Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Sementara itu di Kota Kinabalu, tujuh lagi warga asing ditahan hasil pemeriksaan terhadap 16 individu.

Tangkapan melibatkan seorang lelaki dewasa warganegara China, seorang lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa warganegara Filipina serta dua perempuan dewasa yang tidak dapat dikenal pasti kewarganegaraan. Kesemua mereka turut disiasat di bawah seksyen yang sama.

JIM Sabah dalam kenyataan menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin.

“Orang ramai diseru agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Kesemua tahanan dibawa ke depot imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.