SEMPORNA, SABAH – Sejak kelmarin isu Ebit Liew tidak dibenarkan membuat lawatan lanjutan dalam misi menghantar bantuan ke beberapa pulau di daerah Semporna sedang hangat diperkatakan di laman media sosial Facebook termasuklah juga Twitter.
Lawatan amal Ebit Liew kali ini lebih membuka mata majoriti rakyat Malaysia mengenai keadaan sebenar daerah Semporna di mana Datuk Shafie Apdal adalah Ahli Parlimen bagi daerah itu.

Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Ahli Parlimen Kawasan Semporna sejak tahun 1995 sehingga kini, namun mengikut kajian daerah Semporna mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi di negeri Sabah.
Semporna juga turut dikenali di antara daerah tumpuan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berasal dari Selatan Filipina.
Ebit dalam program amal kali ini telah menjelajah beberapa pulau di daerah Semporna, tetapi malangnya di saat akhir telah dihalang oleh pihak tertentu.
Ebit dalam kenyataan melalui media sosial rasmi miliknya (kelmarin) berkata; “Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di Pulau-Pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah. Pagi ini saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke Pulau-pulau di Semporna, Minta diberhentikan bantuan disekitar sini. Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda 100 ribu atau penjara 3 tahun.”

Persoalan yang timbul ketika ini, siapa yang menghalang misi bantuan Ebit?.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dalam reaksinya berkata pihak Polis tidak menghalang sebarang penganjuran aktiviti kebajikan anjuran sukarelawan termasuk misi bantuan yang dilakukan pendakwah bebas, Ebit Lew.

Menteri Kewangan Kedua Merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan turut memaklumkan tiada larangan kepada pendakwah Ustaz Ebit Lew untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan di negeri ini sambil menegaskan bahawa kerajaan Sabah tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada pendakwah bebas itu.
Menurutnya, beliau sudah menyemak perkara ini dengan polis dan juga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), tiada sebarang larangan dikeluarkan.

Menteri Tugas-Tugas Khas Negeri Sabah Datuk Ariffin Arif turut mengeluarkan kenyataan bahawa “MUIS (Majlis Ugama Islam Sabah) dan JHEAINS (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah) tidak pernah menghalang Y.Bhg Ustaz Ebit Lew datang berdakwah ke Sabah. Kita malah mengalu-alukan sentuhan dakwah beliau.”

Adakah wujud campur tangan secara sembunyi oleh pimpinan Parti Warisan di Semporna bagi menghalang misi Ebit Liew?, ini yang menjadi persoalan utama ketika ini.
Menurut pandangan sesetengah netizen pula berkata, mungkin mereka (Parti Warisan) khuatir apabila Ebit meneruskan misi jelajah ke pulau-pulau berkemungkinan lebih banyak masalah akan terdedah sekaligus akan merosakkan imej Shafie Apdal sebagai ahli Parlimen dan juga Bekas Menteri KKLW serta bekas Ketua Menteri Sabah.
Shafie sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Malaysia pada tahun 2009-2015, namun amat menghairankan apabila daerah Semporna masih ketinggalan dari semua sudut khususnya Pembangunan Infrastruktur.
Umum mengetuai sepanjang Shafie memegang jawatan Menteri KKLW dengan bajet pembangunan berpuluh-puluh bilion, persoalan yang timbul kenapa Semporna masih GAGAL dibangunkan?.
Shafie juga telah berpeluang menjadi Ketua Menteri selama 26 bulan, namun misi membangunkan Semporna tetap kelihatan GAGAL.
Sebelum ini Semporna turut dikenali di mata dunia apabila seorang pelancong dari luar negara memuat naik Video di Youtube yang bertajuk ‘Biggest Shithole In Malaysia’ yang menggelarkan Semporna sebagai sebuah pekan PALING KOTOR di Malaysia serta dihuni oleh ramai individu yang tidak mempunyai dokumen yang sah (PATI).


Terdahulu, pada 19 januari 2014 seorang pelancong yang berasal daripada Romania turut memuat naik komen di laman sesawang Travel Advisor yang bertajuk “Don’t go in Semporna, Malaysia, The Kingdom of Dirty! (Jangan pergi Semporna, Raja Segala Kekotoran).
Selain itu Semporna juga turut dikenali di antara daerah yang paling tinggi kes penggunaan bom ikan, malahan sebelum ini dua (2) pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan telah menjadi mangsa dan maut sewaktu menyelam akibat terkena bom ikan.

