Penduduk Gaza Sembelih Kuda , Makan Dedak, Rumput, Sisa Jagung Demi Kelangsungan...

Penduduk Gaza Sembelih Kuda , Makan Dedak, Rumput, Sisa Jagung Demi Kelangsungan Hidup

0
SHARE
Foto: AFP

GAZA: Di kem pelarian Jabalia di utara Gaza, salah seorang penduduknya, Abu Gibril sangat terdesak untuk mendapatkan makanan bagi menyara keluarganya sehingga dia menyembelih dua ekor kudanya.

“Kami tiada pilihan lain selain menyembelih kuda untuk memberi makan kepada kanak-kanak. Kelaparan membunuh kami,” katanya kepada AFP.

Jabalia adalah kem terbesar di wilayah Palestin sebelum perang, yang bermula selepas pejuang Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, menyebabkan kira-kira 1,160 terbunuh, berdasarkan angka Israel.

Gibril, 60, melarikan diri ke sana dari Beit Hanun apabila konflik meletus. Rumah untuk dia dan keluarganya kini adalah sebuah khemah berhampiran sekolah yang dikendalikan oleh PBB.

Air yang tercemar, pemadaman elektrik dan kesesakan sudah menjadi masalah di kem berpenduduk padat itu, yang ditubuhkan pada 1948 dan meliputi hanya 1.4 kilometer persegi.

Kemiskinan, daripada pengangguran yang tinggi, juga menjadi isu di kalangan lebih 100,000 penduduknya.

Kini mereka kehabisan makanan, dengan agensi bantuan tidak dapat masuk ke kawasan itu kerana pengeboman dan rompakan terhadap beberapa trak yang cuba melaluinya.

Program Makanan Sedunia (WFP) minggu lalu berkata pasukannya melaporkan ‘tahap terdesak yang belum pernah berlaku sebelum ini’, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa 2.2 juta orang berada di ambang kebuluran.

Pada Jumaat lalu, kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, seorang bayi berusia dua bulan meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan di hospital di Bandar Gaza, tujuh kilometer (lebih empat batu) dari Jabalia.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 29,606 orang telah terbunuh di Gaza dalam perang itu, kata kementerian itu pada Sabtu.

Agensi kanak-kanak PBB UNICEF juga telah memberi amaran bahawa kekurangan makanan yang membimbangkan, kekurangan zat makanan yang meningkat dan penyakit boleh membawa kepada lonjakan angka kematian kanak-kanak di Gaza.

Satu daripada enam kanak-kanak berumur bawah dua tahun di Gaza mengalami kekurangan zat makanan akut, dianggarkan pada 19 Februari.

Penduduk tel memakan sisa jagung busuk, makanan haiwan yang tidak sesuai untuk dimakan manusia dan juga daun untuk cuba menahan rasa lapar yang semakin meningkat.