KOTA KINABALU, SABAH – Generasi muda perlu didorong untuk menceburkan diri dalam bidang teknikal, terutamanya kejuruteraan yang sering dikaitkan dengan istilah “kotor, sukar dan berbahaya” atau “3D”.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ini kerana bidang tersebut mempunyai potensi pasaran pekerjaan yang sangat tinggi.
“Selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi antara pemboleh daya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif…
“Semenjak tahun 2000, seramai 149,448 orang telah mengikuti program Latihan Kemahiran Belia di pusat latihan CIDB di seluruh negara,” katanya.
Berdasarkan kepada “tracer study” yang dijalankan CIDB, kebolehpasaran lepasan pelatih di bawah Program Latihan Kemahiran Belia ialah sebanyak 88 peratus (88%).
Bagi tahun 2022, CIDB telah menyediakan peruntukan berjumlah RM52.5juta bagi tujuan pelaksanaan TVET pembinaan.

Kerajaan menyasarkan seramai lebih kurang 14 juta guna tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada pekerja Mahir dan Separuh Mahir di sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan kadar pertumbuhan sebanyak 1.4 peratus setahun.
“TVET tidak sepatutnya menjadi opsyen terakhir kerana bidang kemahiran kini menawarkan banyak peluang pekerjaan…
sekali gus menjadikan mereka sebagai graduan ‘terhangat di pasaran’…
“Saya menyeru lebih ramai para belia yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan swasta mendaftarkan diri sebagai pelatih bagi merebut peluang memajukan diri dalam bidang TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah dan meluangkan masa dalam sesi perkongsian program Kupi-Kupi “ABM Pilihan Ku” bersama lebih kurang 90 pelatih ABM di sini semalam.
Bagi ABM Wilayah Sabah pula, sehingga November 2021, seramai 18,813 belia telah mengikuti kursus di pusat latihan tersebut dengan kadar kebolehpasaran sebanyak 65 peratus manakala seramai 25 peratus sedang menyambung pelajaran.