PUTATAN, SABAH – Seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam Operasi Patuh Bersepadu (SAPU) yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Polis Marin.
Operasi yang melibatkan 54 orang Pegawai Imigresen dan 19 orang Pegawai Pasukan Polis Daerah Kota Kinabalu telah menyerbu dua (2) buah lokasi di kawasan sekitar daerah ini pada pukul 11 malam Rabu sehingga 3 pagi Khamis.
Pengarah JIM Sabah, Sh. Sitti Saleha Habib Yusssof, lokasi serbuan merupakan rumah-rumah setinggan di atas air Tanjung Dumpil dan Pulau Meruntum sini.
“Dalam operasi ini, seramai 124 orang telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut, seramai 32 orang umur dalam lingkungan tujuh (7) bulan hingga 57 tahun ditahan…
“Mereka terdiri daripada 14 orang lelaki dewasa, enam (6) orang lelaki kanak-kanak, 11 orang perempuan dewasa dan seorang perempuan kanak-kanak…
“Kesemua ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata operasi tersebut dilaksanakan di seluruh Sabah dengan objektif membanteras kehadiran dan penempatan haram PATI.
Menurutnya, proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 dikenakan terhadap setiap tahanan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan sebelum dihantar ke Depot Imigresen.
“Saya menyeru supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba melindungi PATI di Negeri Sabah dan melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan mereka…
“Pemilik premis adalah dilarang menyewakan atau membenarkan mana-mana golongan PATI untuk tinggal di premis mereka.
“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol membawa atau menempatkan mana-mana PATI di kawasan penempatan mereka,” tegasnya.