KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Sabah menyeru pekebun kecil getah di negeri ini supaya kembali aktif menoreh susulan peningkatan harga Kentalan Gred 1 yang kini melebihi RM5 sekilogram.
Pengarah RISDA Negeri Sabah, Nor Afzami Isa berkata, perkembangan positif harga komoditi itu membuka peluang kepada pekebun kecil untuk meningkatkan pendapatan sekali gus memperkukuh ekonomi keluarga.
Sehubungan itu, beliau menggesa pekebun kecil supaya mengusahakan semula kebun getah yang terbiar atau tidak ditoreh melalui aktiviti penorehan secara teratur dan konsisten.
“Melalui Kempen Gerakan Penorehan RISDA Negeri Sabah, kita mahu meningkatkan kesedaran pekebun kecil mengenai kepentingan mempergiat aktiviti penorehan bagi meningkatkan pengeluaran getah negara.
“Usaha ini juga selaras dengan objektif Model Transformasi RISDA (MTR) 2026-2030 yang menyasarkan pengeluaran getah negara mencapai satu juta tan metrik setahun menjelang akhir 2030,” katanya dalam kenyataan.
Nor Afzami berkata, kempen berkenaan turut memberi penekanan terhadap pelaksanaan Amalan Pertanian Baik yang disyorkan RISDA, khususnya penyenggaraan kebun, pembajaan dan teknik penorehan.
Katanya, aspek kebersihan serta kualiti hasil getah, termasuk kentalan dan susu lateks, juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pekebun kecil memperoleh nilai hasil yang lebih baik.
Beliau turut menggalakkan pekebun kecil mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan daripada pejabat RISDA berhampiran bagi meningkatkan produktiviti kebun masing-masing.
“Bah, Jom Menoreh, Harga Getah Tinggi Sudah bukan sekadar slogan, tetapi seruan kepada seluruh pekebun kecil di Sabah untuk kembali aktif mengusahakan kebun dan merebut peluang meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.






