Bomba Berjaya Pujuk Wanita Cuba Bunuh Diri di Penampang

Bomba Berjaya Pujuk Wanita Cuba Bunuh Diri di Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Seorang wanita berusia 21 tahun berjaya diselamatkan selepas dipujuk anggota bomba dan polis dalam kejadian cubaan bunuh diri di tingkat tiga sebuah bangunan berhampiran 7-Eleven, Donggongon, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.33 pagi.

Katanya, sepasukan lima anggota dari BBP Penampang dikejarkan ke lokasi sebelum tiba dua minit kemudian.

“Setibanya di lokasi pada jam 4.35 pagi, pasukan bomba mendapati seorang wanita berada di tingkat tiga bangunan berkenaan dalam keadaan dipercayai cuba membunuh diri.

“Operasi memujuk mangsa dimulakan pada jam 4.36 pagi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum wanita terbabit berjaya dipujuk dan diselamatkan,” katanya dalam kenyataan.

Zeno berkata, mangsa yang berada dalam keadaan selamat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.55 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya.