PENAMPANG: Enam individu termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun cedera selepas dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Perodua Axia bertembung dalam kemalangan di Taman Golf View, Jalan Bundusan, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, lima mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah, manakala bayi perempuan terbabit cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.49 pagi sebelum sepasukan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 7.10 pagi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Perodua Axia dengan keseluruhan enam mangsa.
“Tiga mangsa dalam Perodua Axia iaitu pemandu wanita berusia 37 tahun, kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengalami kecederaan parah, manakala bayi perempuan berusia setahun cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Zeno berkata, dua lagi mangsa lelaki yang menaiki Toyota Hilux, termasuk pemandu berusia 20 tahun, turut mengalami kecederaan parah.
Katanya, semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Operasi yang turut dibantu polis dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.57 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat,” katanya.






