Juara Program Realiti, Amir Sisi Berkongsi Rasa Menerusi ‘Ayah Ibu’

Juara Program Realiti, Amir Sisi Berkongsi Rasa Menerusi ‘Ayah Ibu’

0
SHARE
Amir Sisi dengan single pertama 'Ayah Ibu'

KUALA LUMPUR: Amir Sisi, 13 tahun berasal dari kawasan pedalaman Gerik, Perak mula menempa nama menerusi sebuah program realiti untuk kanak-kanak dengan menyerlahkan bakatnya menerusi gandingan bersama jurulatih dari kumpulan MADAM, Putera Muhammad.

Gandingan itu terbukti apabila hampir setiap minggu Amir berjaya memukau hati juri dengan nyanyiannya yang merdu dan unik.

Kali ini, diberi peluang untuk bekerjasama dengan komposer terkenal, Ikhwan Fatanna untuk single sulung beliau yang bertajuk, Ayah Ibu. Lagu ini mengisahkan tentang pengorbanan ayah dan ibu dalam membesarkan anak-anak. Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini juga sangat dekat dengan kehidupan Amir dari pedalaman. 

Single yang pertama ini juga merupakan hadiah daripada  Rocketfuel Entertainment untuk Amir di atas kemenangan beliau dalam program realiti tersebut. Proses rakaman lagu ini juga agak mencabar memandangkan Amir masih lagi bersekolah dan tinggal di kawasan pedalaman yang agak jauh dari Kuala Lumpur.

Vice President Rocketfuel Entertainment, Prem Anand berkata, pihaknya menyedari potensi Amir semenjak kemunculan pertama Amir dalam sebuah program realiti.

“Kami terus mengikuti perkembangannya sehingga tamat program dan apabila Amir dinobatkan sebagai Juara, kami merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk terus membantu mengembangkan bakatnya.

“Kini Amir juga merupakan salah seorang artis rakaman di bawah naungan syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Amir pula menyatakan rasa gembira dan terujanya dengan lagu ini memandangkan itu single pertamanya.

“Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada Amir khasnya kepada ibu bapa, cikgu-cikgu dan rakan-rakan yang ada bersama sejak dari mula sehingga ke hari ini. Terima kasih juga kepada pihak Rocketfuel Entertainment kerana percaya dengan Amir dan memberikan peluang untuk menghasilkan lagu ini.

“Perasaan ini sangat sukar digambarkan dengan kata kata jadi Amir berharap agar lagu ini dapat memberi kesan yang baik kepada semua dan mesej yang disampaikan dapat diterima ramai. Teruskan memberi sokongan yang padu dan Amir berjanji akan sentiasa membanggakan ibu dan ayah Amir,” katanya.

Lagu ‘AYAH IBU’ boleh dimuat turun di iTunes serta jadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.