PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan pelaksanaan Program Servis Ihsan MADANI (SIM) dengan menawarkan subsidi RM70 bagi membantu rakyat mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan sempena Bulan Kebangsaan 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program yang diperkenalkan pada 2025 menerusi kerjasama KPDN dengan PETRONAS AutoExpert kini diperluaskan dengan penyertaan Perodua dan Proton.
Menurutnya, peluasan itu membabitkan keseluruhan 531 pusat servis dan bengkel di seluruh negara, terdiri daripada 221 pusat servis Perodua, 186 pusat servis Proton serta 124 bengkel PETRONAS AutoExpert.
“Di bawah pelaksanaan SIM 2026 sempena Bulan Kebangsaan 2026, subsidi sebanyak RM70 ditawarkan kepada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan di pusat servis Perodua, Proton dan PETRONAS AutoExpert yang mengambil bahagian, tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Armizan berkata, penyertaan lebih banyak pemain industri itu bukan sahaja memperluaskan rangkaian penyedia perkhidmatan, malah membolehkan lebih ramai pengguna mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Pengguna boleh membuat tempahan menerusi aplikasi penyedia perkhidmatan masing-masing iaitu UFirst Perodua Passport bagi Perodua, Proton Link 2.0 bagi Proton dan Setel untuk PETRONAS AutoExpert.
“Peluasan Program SIM ini merupakan antara ikhtiar KPDN bersama rakan strategik industri dalam menterjemahkan semangat ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ melalui inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Selain membantu mengurangkan sebahagian kos penyelenggaraan kenderaan, program ini juga diharapkan dapat menggalakkan pemilik kenderaan melakukan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan,” katanya.
Dalam pada itu, KPDN turut mengadakan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 peringkat kementerian dengan pelbagai pengisian termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Bulan Kebangsaan, Pertandingan Eksplorasi Rona Batik, Cabaran Patriotik: Aku Kasih Malaysia serta Pertandingan Keceriaan Pejabat HKHM 2026.
Rakan strategik KPDN turut menawarkan manfaat kepada pengguna, antaranya TikTok Shop Malaysia menerusi inisiatif Jualan Ihsan RAHMAH 9.9 pada 9 September depan yang menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan terpilih secara dalam talian.
Armizan berkata, KPDN menghargai komitmen Perodua, Proton dan PETRONAS AutoExpert dalam menjayakan SIM 2026 serta akan terus memperkukuh kerjasama kerajaan dan industri bagi memperluaskan manfaat kepada rakyat.
“Kerjasama kerajaan dan industri seperti ini akan terus diperkasakan bagi memperluaskan manfaat kepada rakyat serta melengkapi ikhtiar kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup,” katanya.






