KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga dekad mencipta nama dalam industri hiburan tanah air, Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya apabila merealisasikan impian menubuhkan kumpulan vokal K4LAM, yang turut mengetengahkan eksperimen penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam muzik.
Pak Nil, 63, yang sinonim dengan dunia pengacaraan selain berkecimpung dalam bidang lakonan, radio, penerbitan dan nyanyian, berkata penubuhan K4LAM menjadi satu lagi pencapaian bermakna sepanjang karier seninya.
K4LAM yang mula dibentuk secara berperingkat sejak Februari lalu dianggotai empat anak seni iaitu Isa Khan, 33; Danny, 22; Zulhilmi Zolkefli, 28; dan Allif Firdaus, 25.
Kumpulan itu tercetus hasil pertemuan Pak Nil bersama Isa sebelum tiga lagi anggota dipilih menerusi sesi uji bakat terbuka, manakala penerbit muzik terkenal, AG Coco diberi tanggungjawab memperkemas identiti serta mempersiapkan mereka untuk pasaran muzik.
Menerusi K4LAM, Pak Nil turut meneroka penggunaan AI sebagai sebahagian daripada proses kreatif selepas mendalami kaedah membentuk ‘prompt’ bagi menghasilkan struktur bunyi, irama dan suasana muzik yang menepati idea diinginkan.
“Bagi saya, AI seperti satu lagi alat dalam dunia muzik. Kita sudah lama menggunakan teknologi untuk membantu menghasilkan muzik. Bezanya sekarang, alat itu semakin pintar dan mampu memberi lebih banyak kemungkinan.
“AI ini bukan datang untuk menggantikan manusia. Ia cuma membuka satu lagi ruang untuk manusia mencuba sesuatu yang sebelum ini mungkin mengambil masa atau memerlukan pendekatan yang berbeza,” katanya.
Eksperimen itu diterjemahkan menerusi single sulung K4LAM berjudul MUSA, yang diterbitkan AG Coco dengan rakaman vokal dilakukan di studio Kamar Seni.
Menariknya, MUSA turut membawa elemen kerohanian apabila liriknya menggunakan terjemahan ayat al-Quran daripada Surah Taha dan Surah An-Naml.
Pak Nil bagaimanapun menegaskan beliau tidak pernah menganggap MUSA sebagai ciptaan peribadinya, sebaliknya mahu bersikap telus mengenai penggunaan AI dalam proses penghasilan karya berkenaan.
“Saya tidak akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil. Pada saya, soal pengiktirafan itu penting. Kalau kita menggunakan AI dalam proses menghasilkan karya, kita kena jujur tentang bagaimana karya itu terhasil,” katanya.
Menurut Pak Nil, MUSA bukan dihasilkan untuk tujuan pertandingan, sebaliknya sebuah eksperimen yang mempertemukan teknologi semasa dengan kreativiti manusia serta mesej kerohanian.
Katanya, nilai sebenar karya itu bukan terletak kepada kecanggihan AI semata-mata, tetapi kemampuannya mendorong pendengar untuk mendekati dan memahami al-Quran.
“Kalau selepas dengar MUSA, ada yang rasa ingin buka al-Quran, mencari Surah Taha atau Surah An-Naml dan membaca sendiri, bagi saya itu sudah cukup bermakna,” katanya.
MUSA mula diperdengarkan kepada umum bersama video muziknya pada 26 Ogos lalu.






