KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua dekad, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) membuktikan magisnya masih berbisa apabila kesemua tiket pementasan semula muzikal ikonik itu habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan kepada umum dibuka.
Lebih mengejutkan, sehingga jam 10 malam, lebih 22,000 peminat masih berada dalam senarai menunggu dalam talian, sekali gus menunjukkan permintaan jauh mengatasi kapasiti tempat duduk bagi musim pementasan kali ini.
Pengarah dan pencipta bersama produksi asal, Tiara Jacquelina, berkata sambutan luar biasa itu amat mengharukan, terutama apabila PGL masih mendapat tempat di hati peminat selepas 20 tahun.
“Dua puluh tahun lalu, kami hanya mampu berharap PGL akan menjadi sesuatu yang dikenang oleh rakyat Malaysia. Malam ini, rakyat Malaysia mengingatkan kami bahawa mereka tidak pernah melupakannya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Tiara, sambutan itu juga memberi petanda positif terhadap perkembangan industri teater tempatan kerana membuktikan penonton masih mempunyai minat tinggi terhadap karya dan produksi Malaysia.
“Ini bukan sekadar cerita tentang PGL. Ini satu petanda yang sangat menggalakkan untuk teater Malaysia dan seni persembahan negara.
“Ia menunjukkan bahawa penonton kita dahagakan cerita kita sendiri, bakat kita sendiri dan produksi tempatan yang lahir daripada kreativiti rakyat Malaysia,” katanya.
Pementasan 2026 menandakan kepulangan PGL selepas hampir dua dekad dengan Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square menjadi pentas baharunya.
Tiara berkata pasukan produksi kini giat menjalani latihan dan menyifatkan sambutan luar biasa itu sebagai satu tanggungjawab besar untuk memberikan persembahan yang mampu melangkaui jangkaan penonton.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan PGL diperluaskan selepas musim pementasan kali ini susulan minat daripada beberapa pihak termasuk dari negeri lain, namun belum ada sebarang pementasan tambahan disahkan.
Puteri Gunung Ledang The Musical dijadualkan dipentaskan dari 31 Oktober hingga 15 November 2026 di JCPAC, Sunway Square.






