Naik Taraf Jalan Tengkurus-Lahanas Kini Capai Kemajuan 81.4 Peratus

Naik Taraf Jalan Tengkurus-Lahanas Kini Capai Kemajuan 81.4 Peratus

0
SHARE

KOTA BELUD: Projek menaik taraf Jalan Tengkurus-Lahanas Siba-Lahanas Sokid sepanjang 12.4 kilometer di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian kini mencapai kemajuan 81.4 peratus dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Julai tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, projek bernilai RM61 juta itu merupakan antara projek infrastruktur utama yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kesalinghubungan serta menyediakan kemudahan jalan raya lebih baik kepada penduduk di Mukim Tengkurus-Lahanas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, projek berkenaan dijadualkan siap mengikut lanjutan masa kedua (EOT2) pada Julai 2027.

“Projek ini kini mencapai prestasi pelaksanaan 81.4 peratus dan dijadualkan siap mengikut lanjutan masa kedua (EOT2) pada Julai 2027.

Apabila siap sepenuhnya, projek menaik taraf jalan ini akan menjadi ‘game changer’ kepada ribuan penduduk di Mukim Tengkurus-Lahanas kerana ia akan memberikan akses jalan raya yang lebih baik dan seterusnya menyokong kegiatan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan projek berkenaan sempena lawatan ke beberapa projek berskala besar di kawasan Kadamaian, hari ini.

Menurut Ewon, projek Jalan Tengkurus-Lahanas Siba-Lahanas Sokid merupakan satu daripada lima projek utama berskala besar menaik taraf jalan raya dalam DUN Kadamaian yang kini sedang rancak dilaksanakan.

Katanya, pelaksanaan projek-projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan infrastruktur asas yang lebih baik kepada penduduk Kadamaian.

“Saya akan terus berkepimpinan untuk menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang menjadi panduan kepada usaha pembangunan kawasan ini, khususnya dalam membangunkan daya saing ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam lawatan itu, Ewon turut diberikan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah Kota Belud mengenai perkembangan semasa pelaksanaan projek berkenaan.

Beliau turut meninjau pembinaan dewan terbuka Kampung Lahanas Siba yang melibatkan peruntukan RM50,000 yang disalurkannya tahun lalu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk dilaksanakan sendiri.

Menurutnya, penyediaan kemudahan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha melengkapkan keperluan masyarakat di peringkat kampung, seiring dengan pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar yang sedang berjalan di Kadamaian.