Jambatan Buang Sayang, Tebing Sungai Kabang Perlu Tindakan Segera – Armizan

Jambatan Buang Sayang, Tebing Sungai Kabang Perlu Tindakan Segera – Armizan

0
SHARE

PAPAR: Projek pembinaan Jambatan Buang Sayang, Papar II dan kerja baik pulih serta perlindungan tebing Sungai di Muka Sauk (Water Intake) Kabang perlu diberi tindakan segera berikutan keperluannya yang mendesak bagi menangani kesesakan serta mengurangkan risiko gangguan bekalan air di Papar.

Ahli Parlimen Papar merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau kini membuat susulan termasuk menyediakan surat berkaitan keperluan peruntukan bagi kedua-dua projek berkenaan.

Menurutnya, projek terbabit ialah Projek Pembinaan Jambatan Buang Sayang, Papar II KM20.4 dan Projek Baik Pulih dan Perlindungan Tebing Sungai di Muka Sauk (Water Intake) Kabang, Papar.

“Kedua-dua projek ini telah saya bangkitkan secara terbuka kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa ucapan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi-Papar pada 28 Julai lalu.

“Alhamdulillah, dalam ucapan menyempurnakan majlis tersebut, Ketua Menteri telah memberikan persetujuan secara prinsip dan menzahirkan kelulusan terhadap kedua-dua permohonan tersebut.

Kini, susulan perlu dibuat pada peringkat pegawai bagi menguruskan penyediaan peruntukan dan pelaksanaannya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, Selasa.

Armizan berkata, kedua-dua projek berkenaan mempunyai keperluan yang cukup mendesak dan memberi kesan secara langsung kepada penduduk setempat.

Katanya, kerja baik pulih dan perlindungan tebing sungai di Muka Sauk Kabang penting dalam usaha mengurangkan risiko gangguan bekalan air.

Sementara itu, pembinaan Jambatan Buang Sayang, Papar II pula diperlukan bagi menangani kesesakan luar biasa di jambatan sedia ada yang menjadi laluan harian penduduk.

“Insya-Allah, kita ikhtiarkan persetujuan yang telah diberikan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan kedua-dua projek ini pada kadar segera,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, beliau turut memantau laporan kerja penghantaran air ke kawasan terjejas sekitar Papar selain menggunakan cuti umum pada Selasa untuk meneliti urusan kerja berkaitan kawasan Parlimen berkenaan.