KUNAK: Tiga individu maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah Perodua Viva yang dinaiki enam mangsa terbabas di Kampung Sungai Atas, Jalan Sungai Atas, di sini, pada petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, PPgB Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.05 petang sebelum empat anggota bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian dan mendapati sebuah Perodua Viva dipercayai terbabas sendiri di atas jalan raya.
“Kesemua enam mangsa didapati sudah berada di luar kenderaan ketika pasukan bomba tiba.
“Tiga daripada mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala tiga lagi mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata, tiada operasi menyelamat dilakukan oleh pihak bomba dan anggota hanya mengambil maklumat berkaitan kejadian di lokasi.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya, manakala tiga mangsa yang cedera dibawa menggunakan ambulans KKM ke Hospital Kunak bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.31 malam,” katanya.
Operasi diketuai PBK II Abdul Jatin Mohd Jahiri dengan PDRM turut berada di lokasi kejadian.






