Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Berkapasiti 60 Juta Liter Dijangka Siap Pertengahan...

Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Berkapasiti 60 Juta Liter Dijangka Siap Pertengahan Tahun 2023 – Bung

0
SHARE
Bung berucap pada majlis perasmian Projek Pembinana Loji Rawatan Air Baru Lahad Datu...

LAHAD DATU, SABAH – Projek pembinaan loji rawatan air dengan rekabentuk berkapasiti 60 juta liter sehari (mld) bagi penduduk di daerah ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2023.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, kos keseluruhan projek berkenaan bernilai RM 265 juta.

“Ianya supaya keperluan air terawat sebanyak 91 mld bagi daerah ini dapat ditampung. Ketika ini, Lahad Datu masih kekurangan lebih 30 mld bekalan air terawat setiap hari…

“Projek yang sangat penting bagi rakyat Lahad Datu ini sudah lama dirancang namun baru terlaksana pada penghujung tahun lalu,” katanya pada perasmian Fasa 1 projek tersebut di sini petang tadi.

Menurutnya, selain projek itu, antara lain yang sedang dalam pembinaan bagi daerah Lahad Datu adalah Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kawasan Dewata.

Bung (tengah) memotong reben sebagai gimik perasmian pembinaan loji rawatan air baru bagi daerah Lahad Datu…

“Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Dewata dengan rekabentuk kapasiti sebanyak 3 mld dijangka siap dalam tahun ini manakala projek Pembinaan Loji Rawatan Air Baru dengan rekabentuk kapasiti 60 mld dijangka siap pada pertengahan tahun 2023,” tambah beliau.

Selain itu, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri mendedahkan tiga (3) lagi projek bagi Lahad Datu dalam peringkat pra-pelaksanaan bernilai RM 199.10 juta.

Projek-projek berkenaan termasuk Loji Rawatan Air Sri Putatan dan Sistem Rangkaian Paip Sekitarnya (Rekabentuk Konsep), Program BALB Sistem Retikulasi NRW Tahun 2018/2019 (Dokumen Tender) dan Projek Bekalan Air Luar Bandar di Kg. Bangingod, Kg. Sri Hak dan Kg. Telibas, Tungku yang juga berstatus Dokumen Tender.

Ketiga-tiga projek ini mendapat dana daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Persekutuan).

Bung juga berkata kementerian beliau telah memiliki sumber kewangan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Kita telah menerima senarai pelbagai projek bagi pembangunan sekitar Sabah yang akan dihimpunkan pada bulan Februari nanti. Daerah pada tahap kritikal akan diberikan keutamaan…

“Lebih banyak pembangunan infrastruktur khususnya membina dan membaik pulih jalan raya akan dibawa ke Lahad Datu,” katanya sambil menambah akan berbincang dengan Pegawai Daerah berkenaan hal itu hari ini.