
LABUAN – Operasi CARILAMAT ke atas seorang mangsa lemas di perairan Pulau Lambidan, sini, pada Isnin lalu ditamatkan hari ini selepas pencarian selama lima (5) hari tidak menemui sebarang petunjuk positif.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu telah menamatkan operasi CARILAMAT pada jam 6.30 petang tadi.
“Keputusan dibuat setelah mengambil kira tiada sebarang penemuan atau petunjuk ditemui pasukan di lapangan sepanjang empat (4) hari operasi…
“Walau bagaimanapun, pencarian dan pemantauan akan diteruskan agensi masing-masing yang bertugas menerusi operasi harian mengawal pesisir pantai, laut dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.
Operasi melibatkan seramai 45 anggota dari pelbagai agensi seperti Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam serta RELA bagi melaksanakan pencarian.
Keluasan keseluruhan sektor CARILAMAT merangkumi 184 batu nautika dengan LIMA (5) aset telah diaturgerak sepanjang lima hari operasi.
Nudin menyeru komuniti maritim Labuan khususnya untuk terus meningkatkan keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.
“Laporkan sebarang kejadian kecemasan di laut menggunakan talian 999 (MERS) atau 087-453777 (Pusat Operasi Zon Maritim Labuan),” tambahnya.