Sebrian Gambar Perasaan Kehilangan Ahli Keluarga Dalam Lagu Maafkan

Sebrian Gambar Perasaan Kehilangan Ahli Keluarga Dalam Lagu Maafkan

0
SHARE
Sebrian
Poster single Maafkan oleh Sebrian Shah ( Sumber Foto: Ihsan AEG )

KUALA LUMPUR – Perasaan kehilangan empat orang ahli keluarga yang dialami penyanyi baharu dalam industri muzik tanah air, Sebrian Shah, 24, digambarkan dalam lagu pertamanya bertajuk ‘Maafkan’.

“Saya mengumpul kekuatan dalam berkarya kerana kehilangan empat ahli keluarga yang amat disayangi.

“Lagu Maafkan hasil ciptaan barisan komposer muda, Amzar Razqa, Ijlal Afiq dan Emeer Bakri menjadi taruhan pertama saya dalam menembusi pasaran muzik tempatan dan diterbitkan oleh Armani Entertainment Group (AEG),” katanya.

Walaupun baharu sahaja hadir dengan single pertama, Sebrian sudah pun dalam proses menyempurnakan rakaman single kedua dan ketiga yang memerlukan penguasaan vokal secara keseluruhan.

“Saya menghadiri kelas vokal bersama Cikgu Shafi yang diaturkan oleh pihak AEG sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu bagi mengasah kekuatan vokal untuk memudahkan proses rakaman seterusnya,” jelas mahasiswa dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Lincoln University itu.

Dilahirkan di Johor Bahru, Sebrian sememangnya meminati bidang nyanyian sejak kecil lagi.

“Seingat saya ketika berusia 9 tahun, bapa ada menghadiahkan sebuah set karaoke kerana sedar dengan minat saya yang suka menyanyi dan pernah menyertai beberapa pertandingan nyanyian dalam Bahasa Cina dan Inggeris.

“Saya menuntut di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan mula menyanyi dalam Bahasa Melayu sepenuhnya ketika di sekolah menengah sehingga di universiti, akhirnya bakat saya dicungkil oleh AEG dan mereka terus melamar saya menjadi artis rakaman.

“Single Maafkan dalam nuansa pop balada ini menceritakan tentang kehilangn orang tersayang di mana masa yang diberikan sangat mencemburui kehidupan yang singkat ini, hanya kemaafan yang dipinta dan penyesalan kerana tidak dapat bersama lebih lama.

“Saya telah kehilangan empag orang ahli keluarga yang amat saya sayangi dalam empat tahun berturut-turut, sesi rakaman bermula sejurus pemergian datuk dan rakaman terakhir pula diadakan beberapa hari setelah kehilangan ibu saudara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AEG, Datuk KK Chua menyifatkan Sebrian merupakan seorang anak muda yang mempunyai masa depan yang cerah dalam industri muzik negara kita.

“Di AEG, kami percaya dengan bakat anak muda selain menyediakan latihan vokal agar mereka betul-betul bersedia dalam menghadapi persada muzik Malaysia yang banyak saingannya,” katanya.