Mahkamah Jatuhkan Hukuman 12 Tahun Penjara Kepada Bekas Menteri

Mahkamah Jatuhkan Hukuman 12 Tahun Penjara Kepada Bekas Menteri

0
SHARE
Juliari Batubara...

JAKARTA, INDONESIA – Mahkamah Jakarta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Juliari Batubara selepas didakwa menerima rasuah sebanyak AS$1.2 juta (RM5.07 juta) yang ada kaitan dengan bantuan makanan untuk keluarga miskin yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Memetik laporan AFP, Batubara ditahan pada Disember tahun lalu yang mana operasi tersebut turut menemukan sejumlah wang dalam beg pakaian, beg galas dan sampul surat.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap tertuduh dan memerintahkannya untuk membayar denda 500 juta rupiah (RM146,000) atau enam bulan lagi penjara,” kata Hakim Muhammad Damis dalam perbicaraan diadakan secara maya berikutan penularan COVID-19.

Bekas ahli politik itu juga diperintahkan membayar ganti rugi setara sekitar AS$1 juta (RM4.23 juta) atau tambahan dua tahun penjara, kata mahkamah.

Terdahulu, menurut mahkamah Batubara mengambil wang dari dua kontraktor yang dilantik membekalkan pakej makanan asas untuk rakyat Indonesia yang teruk terjejas akibat krisis kesihatan.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo berikrar tidak akan melindungi pegawai terbabit jenayah rasuah susulan tangkapan Batubara dan menganggap dana yang dicuri itu adalah wang rakyat.

Presiden Indonesia, Joko Widodo…

Rasuah kekal sebagai masalah besar di Indonesia, di mana ahli politik di republik itu dilihat antara paling ramai terbabit.

Agensi antirasuah negara itu menahan sejumlah penjawat awam beberapa tahun lalu, termasuk bekas Menteri Perikanan, Edhy Prabowo yang bulan lalu dipenjara selama lima tahun kerana kes rasuah berkaitan eksport udang galah.

Negara Asia Tenggara itu paling teruk terjejas dengan penularan COVID-19 apabila merekodkan hampir empat juta kes positif dan lebih 126,000 kematian.