KABUL, AFGHANISTAN – Seorang wanita Afghanistan selamat melahirkan seorang bayi perempuan di dalam ruang kargo sebuah pesawat milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS).
Menurut sumber akhbar The Sun, wanita berkenaan yang merupakan pelarian Afghanistan yang berusaha melarikan diri daripada negara itu selepas kerajaan diambil-alih oleh Taliban.
Tentera Udara AS dalam satu kenyataan semalam berkata, wanita itu bersalin dan mula mengalami komplikasi semasa berada di dalam pesawat itu pada Sabtu lalu.
“Juterbang penerbangan itu memutuskan untuk menurunkan altitud bagi meningkatkan tekanan udara di dalam pesawat untuk membantu menstabilkan dan menyelamatkan nyawa wanita itu,” demikian menurut satu ciapan oleh Komando Mobiliti Udara AS di laman Twitter miliknya.
Unit perubatan tentera AS segera membantu wanita tersebut melahirkan bayinya di dalam pesawat jenis C-17 sejurus mendaratnya pesawat itu di pangkalan Ramstein.
Tentera Udara AS turut memaklumkan bahawa wanita itu bersama bayinya telah dipindahkan ke kemudahan perubatan berdekatan dan kedua-duanya dilaporakn berada dalam keadaan baik dan stabil.