EFA Sahkan Liverpool Enggan Lepaskan Salah Bermain Untuk Mesir

EFA Sahkan Liverpool Enggan Lepaskan Salah Bermain Untuk Mesir

0
SHARE

KAHERAH, MESIR – Kelas gergasi England, Liverpool enggan melepaskan penyerang sensasi mereka iaitu Mohamed Salah bagi menyertai pusingan kelayakan Piala Dunia berdepan Angola dan Gabon kerana peraturan kuarantin United Kingdom, demikian menurut Persatuan Bolasepak Mesir (EFA) dalam satu kenyataan hari ini.

“Persatuan diberitahu oleh Liverpool bahawa Mohamed Salah tidak boleh menyertai pasukan kebangsaan berdepan Angola di Kaherah dan Gabon dekat Franceville dalam kelayakan Piala Dunia,” kata EFA dalam satu kenyataan di media sosial yang dipetik AFP.

Media British sebelum itu turut melaporkan ‘The Reds’ juga enggan melepaskan Fabinho, Roberto Firmino dan Alisson Becker bagi tiga saingan kelayakan Piala Dunia bersama Brazil.

Mesir dan Brazil masing-masing berada dalam ‘senarai merah’ kerajaan UK.

Badan induk bola sepak Mesir itu berkata keputusan dibuat Liverpool berdasarkan “pengasingan mandatori selama 10 hari” terhadap mereka yang kembali dari negara berkenaan.

EFA juga berkata mereka menggesa FIFA untuk mengurangkan peraturan ketat bagi pemain antarabangsa bagi memudahkan mereka menyertai skuad bagi kelayakan Piala Dunia 2022 itu.

Terdahulu, Liverpool sebelum ini juga enggan melepaskan Salah untuk bermain di Olimpik ketika Mesir mara ke suku akhir, namun tewas kepada Brazil.