Jelajah Kebun Dapur Perkukuh Sekuriti Makanan Negeri, Perkasa Ekonomi Isi Rumah

Jelajah Kebun Dapur Perkukuh Sekuriti Makanan Negeri, Perkasa Ekonomi Isi Rumah

0
SHARE

TUARAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, menegaskan Inisiatif Kebun Dapur yang diperkenalkan kementeriannya menjadi antara langkah strategik kerajaan negeri dalam memperkukuhkan sekuriti makanan serta memperkasa ekonomi isi rumah, khususnya di luar bandar.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, di sini, pada Ahad yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai tanda sokongan terhadap usaha berkenaan.

Menurut Jamawi, pendekatan kebun dapur yang meliputi penanaman sayur-sayuran dan herba, penternakan kecil serta perikanan air tawar berskala isi rumah mampu mengurangkan perbelanjaan harian keluarga selain berpotensi menjana pendapatan tambahan melalui pemasaran lebihan hasil.

“Dalam suasana ekonomi mencabar dan peningkatan kos sara hidup, keupayaan isi rumah menghasilkan sendiri sebahagian keperluan makanan adalah satu langkah bijak dan strategik,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 16 Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (APCC) telah diwujudkan, manakala sembilan lagi akan dilengkapkan bagi memastikan setiap kawasan Parlimen di Sabah mempunyai kemudahan berkenaan.

Selain kebun dapur, beliau memaklumkan tiga pendekatan utama digerakkan di bawah inisiatif itu. Pertama, pelaksanaan Program Mentor-Mentee yang melibatkan 18 anak muda berusia 40 tahun ke bawah sebagai mentor bagi membimbing golongan belia dan usahawan baharu dalam bidang pertanian.

Kedua, sokongan pembiayaan melalui agensi kewangan seperti Perbadanan Pinjaman Sabah yang menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 dengan kadar faedah sifar atau rendah, selain kemudahan daripada Yayasan Usaha Maju dan Agrobank dengan kadar serendah tiga peratus.

Ketiga, usaha membawa usahawan industri makanan termasuk pengusaha keropok amplang dan sambal ke arah pendigitalan perniagaan menerusi platform dalam talian seperti TikTok, selaras dengan perkembangan pemasaran digital masa kini.

Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Pejabat Daerah Tuaran, jabatan serta agensi di bawah kementerian, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, pihak swasta serta komuniti setempat yang menjayakan Jelajah Kebun Dapur MAFFI.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkasa ekonomi isi rumah melalui pertanian berskala kecil yang praktikal, mudah dilaksanakan dan memberi impak segera kepada rakyat.