KOTA KINABALU: Polis menahan empat individu setakat ini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bunuh dan potong mayat seorang wanita dipercayai berpunca daripada pertunangan yang gagal di Indah Permai, Menggatal.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata tangkapan melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun, seorang lelaki 19 tahun serta dua wanita tempatan berumur 29 dan 21 tahun, yang juga anak kepada suspek utama.
“Setakat ini seramai empat individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan perkembangan kes.
Beliau berkata beberapa barangan dirampas termasuk telefon bimbit, pakaian, sarung tangan, sebilah parang sepanjang kira-kira 27 inci dan sebuah kenderaan Nissan X-Trail yang dipercayai berkaitan dengan kejadian.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan oleh Polis Diraja Malaysia.






