Kota Marudu Dapat Perpustakaan Baharu, Perkasa Literasi Luar Bandar

Kota Marudu Dapat Perpustakaan Baharu, Perkasa Literasi Luar Bandar

0
SHARE

KOTA MARUDU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh akses pendidikan luar bandar apabila Majlis Pelancaran Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Baharu Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kota Marudu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, hari ini.

Beliau berkata, projek berkenaan bukan sekadar pembinaan fizikal sebuah bangunan, sebaliknya melambangkan komitmen kerajaan dalam memperluas akses ilmu, memperkasa budaya literasi serta merapatkan jurang maklumat antara bandar dan luar bandar selaras aspirasi Sabah Maju Jaya.

Majlis pada hari ini bukan sekadar simbolik kepada pembinaan sebuah bangunan baharu, tetapi merupakan lambang komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh akses pendidikan dan memastikan rakyat di setiap daerah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ilmu dan teknologi,” katanya.

Menurutnya, perpustakaan kini berperanan sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat, hab komuniti dan pusat rujukan maklumat digital yang menyokong pembangunan modal insan.

“Perpustakaan bukan lagi sekadar tempat menyimpan buku. Dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan, ia menjadi ruang inovasi dan pusat pembelajaran yang membentuk masyarakat celik maklumat serta berfikiran kritis,” ujarnya.

James berkata, bangunan baharu itu akan menyediakan kemudahan lebih kondusif, selesa dan inklusif kepada pelajar, belia, usahawan kecil serta komuniti setempat di Kota Marudu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih serta warga kerja perpustakaan negeri yang terus komited memperkasakan perkhidmatan perpustakaan di seluruh Sabah, yang kini merangkumi 25 cawangan dan 73 perpustakaan desa.

“Pelaburan dalam ilmu merupakan pelaburan paling berharga demi masa depan negeri dan generasi yang mampu menyahut aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya sebelum merasmikan majlis berkenaan.