LAHAD DATU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah menegaskan bahawa jentera pilihan raya bahagian itu kini berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum menjelang tempoh berkempen dan hari pengundian akan datang.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Khas Jentera Pilihan Raya yang diadakan bagi memperkukuh kefahaman dan kesiapsiagaan seluruh petugas pilihan raya.
“Alhamdulillah, hari ini kita mengadakan satu taklimat khas untuk seluruh jentera pilihan raya. Sebenarnya taklimat ini sudah pernah diadakan sebelum ini, dan kali ini adalah untuk memastikan jentera benar-benar bersedia 100 peratus dari segi perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya.

Menurutnya, jentera pilihan raya memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan parti pada hari pengundian kerana mereka merupakan barisan hadapan yang memahami strategi kempen dengan lebih mendalam.
“Yang paling penting bagi kami ialah memastikan jentera ini bukan sahaja bersedia secara fizikal, tetapi juga mempunyai ilmu, disiplin dan hala tuju yang jelas ketika menjalankan tugas,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa bagi DUN Silam, terdapat lapan (8) Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan kekuatan 256 petugas jentera pilihan raya yang telah dikenal pasti dan dilatih.
“Harapan saya agar jentera GRS kali ini menjadi pasukan yang kuat dan mantap. Dalam ‘peperangan politik’, semangat adalah senjata utama selain ilmu.
“Saya mahu setiap petugas kekal bersemangat dan berdisiplin, kerana semangat itulah yang akan membawa kepada kemenangan,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar semua ahli dan penyokong GRS terus bersatu hati dalam memastikan kemenangan berpihak kepada parti di Silam.
DUN Silam mempunyai kira-kira 29,000 pengundi berdaftar terkini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17).






