KOTA KINABALU: Ketua Unit Logistik Jawatankuasa Pilihan Raya Keadilan Sabah (JPRS), Fekirie Gobet, meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta pada 26 Ogos lalu.
Dalam suratnya kepada Pengarah Pilihan Raya Keadilan Sabah, Datuk Peto Galim, Fekirie mendakwa urusan logistik kini diambil alih sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) sekali gus mengetepikan peranan JPRS.
Beliau turut menyifatkan bahawa autonomi negeri dalam hal pengurusan pilihan raya semakin terhakis.
Bagaimanapun, JPRSabah dalam kenyataan menafikan dakwaan itu dan menegaskan Sabah masih mempunyai kuasa dalam menguruskan pilihan raya di peringkat negeri.
“Fungsi logistik hanya bermula selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Tiada isu pengambilalihan tugasan oleh JPRP seperti didakwa,” kata Pengarah Bersama JPRSabah, Abdul Razak Jamil.
Beliau turut menjelaskan bahawa Fekirie beberapa kali tidak menghadiri mesyuarat, sekali gus menolak dakwaan kononnya keputusan JPRS diketepikan.
“JPRSabah menghormati keputusan pengunduran tersebut dan akan melantik pengganti baharu dalam masa terdekat,” tambahnya.






