Remaja Perempuan Maut, Dua Lelaki Cedera Dalam Kemalangan di Lahad Datu

Remaja Perempuan Maut, Dua Lelaki Cedera Dalam Kemalangan di Lahad Datu

0
SHARE

LAHAD DATU: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut manakala dua lelaki cedera selepas sebuah kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka terbabas di bulatan hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, awal pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima pada jam 4.42 pagi.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dengan kekuatan sembilan anggota telah dikerahkan ke lokasi.

Komander Operasi, PBK I Mohamud Punya berkata, setibanya pasukan di lokasi, didapati tiga mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Dua mangsa lelaki masing-masing berusia 28 tahun dan 31 tahun berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang mangsa perempuan berusia 19 tahun didapati tersepit di bahagian penumpang hadapan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas RTA (Telescopic Ram), namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua lagi mangsa, termasuk pemandu berusia 31 tahun yang cedera di bahagian mulut serta seorang lelaki berusia 28 tahun yang mengalami kecederaan ringan, dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat diketuai pasukan BBP Lahad Datu dengan kekuatan 9 anggota bersama sebuah jentera LFRT dan sebuah unit EMRS, selain dibantu KKM (3 anggota) serta PDRM (5 anggota).

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.48 pagi setelah pasukan bomba memastikan keadaan selamat dan tiada lagi risiko bahaya di lokasi.