MOSCOW – Jepun berdepan cabaran baharu apabila kira-kira 10,000 daripada 80,000 sukarelawan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo menarik diri, menurut Ketua Pegawai Eksekutif jawatankuasa penganjur, Toshiro Muto, demikian menurut laporan Sputnik yang dipetik daripada Kyodo News pada Rabu.
“Tidak syak lagi, antara sebabnya kerana bimbang jangkitan COVID-19,” kata Muto.
Menurut Muto, ada juga beberapa sukarelawan berhenti disebabkan pertindihan jadual selepas temasya itu ditunda berikutan pandemik.
Disebabkan program vaksinasi yang perlahan dan jumlah varian virus yang semakin meningkat di Jepun, penganjur menghadapi kesukaran untuk mendapatkan sokongan dan meyakinkan orang ramai acara itu dapat dianjurkan dengan selamat.
Daripada 10,000 sukarelawan yang menarik diri itu, kira-kira 1,000 dilaporkan berhenti disebabkan komen berbaur seksis yang dibuat bekas presiden jawatankuasa penganjur, Yoshiro Mori dalam satu mesyuarat. Komen Mori itu dikritik hebat yang membawa kepada peletakan jawatannya.