Hak Imigresen Sabah di Bawah MA63 Kekal ‘Non-Negotiable’ – Joniston

Hak Imigresen Sabah di Bawah MA63 Kekal ‘Non-Negotiable’ – Joniston

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hak autonomi imigresen Sabah yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kekal sebagai perkara yang tidak boleh dirunding atau non-negotiable, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO) mengenai sebab Kerajaan Negeri menangguhkan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia 2024.

“AKPS 2024 berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun Sabah telah mengemukakan pendirian agar pelaksanaannya di negeri ini tidak menghakis kuasa autonomi imigresen yang diperuntukkan di bawah MA63,” katanya.

Jelas ADUN Kiulu itu lagi, kuasa imigresen Sabah yang termaktub di bawah Artikel V MA63 merupakan antara asas penting Pembentukan Malaysia dan perlu terus dipelihara.

“Hak imigresen Sabah di bawah MA63 kekal non-negotiable. Kerajaan Negeri berpendirian bahawa sebarang pelaksanaan dasar atau undang-undang Persekutuan tidak boleh menghakis kuasa autonomi yang telah dijamin kepada Sabah,” kata Joniston.

Beliau berkata, atas pendirian itu, Kerajaan Negeri telah mengemukakan surat rasmi kepada Perdana Menteri bagi mengekalkan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah sebagai agensi yang mengawal semua pintu masuk ke negeri ini, termasuk kuasa mengeluarkan notis Not-To-Land (NTL).

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menegaskan bahawa jaminan perlindungan kedudukan Sabah dari sudut perlembagaan perlu terus dipelihara bagi memastikan tiada sebarang penghakisan terhadap hak istimewa dan kuasa autonomi imigresen negeri.