NIBONG TEBAL, PULAU PINANG – Seorang jurutera berusia 41 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) sehingga sehingga hampir melanggar enam petugas di situ dalam kejadian di Jalan Simpang Ampat, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Lee Chong Chern berkata dalam kejadian jam 8.15 malam itu, terdapat lima anggota polis dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang bertugas di SJR berkenaan sebelum sebuah kereta jenis Toyota Estima yang berada di lorong kanan tiba-tiba bertukar ke lorong kiri.
“Anggota Rela yang nampak kejadian itu telah menjerit beberapa kali ke arah kereta dipandu lelaki berkenaan supaya dia kembali ke lorong kanan namun pemandunya terus laju di lorong kiri dan semua petugas yang berada di lorong tersebut (lorong kiri) terus menyelamatkan diri ke bahu jalan…
“Pemandu kereta itu terus merempuh SJR berkenaan dengan melanggar tujuh buah kon, lapan buah lampu beacon, papan pemeriksaan polis dan payung polis yang berada di sekatan tersebut dan terus memecut laju untuk melarikan diri menghala ke Simpang Ampat,” katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.
Katanya dua anggota polis di SJR itu bertindak mengejar kereta tersebut dengan masing-masing menunggang motosikal sebelum mereka berjaya menahan kenderaan berkenaan iaitu kira-kira 200 meter daripada lokasi kejadian dan membuat pemeriksaan ke atas pemandunya.
Lee berkata semasa pemeriksaan ke atas lelaki yang memandu kereta itu, anggota polis mendapati terdapat bau alkohol dan dia dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol serta dalam keadaan mabuk.
Katanya lelaki yang bekerja sebagai sebuah jurutera di sebuah syarikat di Bukit Mertajam, dekat sini, mengaku dia telah minum minuman keras bersama pelanggannya ketika di tempat kerjanya sebelum terus pulang ke rumahnya di Simpang Ampat.
Beliau berkata dalam kejadian itu tiada petugas di SJR tersebut mengalami kecederaan dan pemandu berkenaan direman bagi membantu siasatan menutut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
– BERNAMA