KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu membuat tangkapan ke atas dua (2) orang lelaki yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan Barat Daya Pelantar Minyak St. Joseph pada tengah hari Ahad baru-baru ini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu, ASP Roslan Awang berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap bot pam suspek mendapati beberapa peralatan yang digunakan bagi aktiviti pengeboman ikan dan juga pelbagai jenis ikan seberat 50kg.
“Turut dijumpai dalam pump bot adalah beberapa botol berisi butiran berwarna putih dipercayai baja Ammonia Nitrat…
“Dua tahanan berumur 39 tahun termasuk dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah Rm8,762.00 dan kes disiasat dibawah Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan.
Kata Roslan lagi, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp Pasukan Polis Marin Wil.4 Sabah di nombor 013-9391197.
“…Bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.