PCS Sambut Baik Saranan Najib Razak Berkenaan Pemimpim Lompat Parti

PCS Sambut Baik Saranan Najib Razak Berkenaan Pemimpim Lompat Parti

0
SHARE
Ketua Pemudu PCS, Zakariah Ibrahim...

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Cinta Sabah (PCS) menyambut baik saranan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menyatakan pemilihan semula wakil rakyat adalah lebih baik berbanding undang-undang anti-lompat jika ahli Parlimen mahu bertukar kepada parti lain baru-baru ini.

Ketua Pemudu PCS, Zakariah Ibrahim berkata salah satu daripada Akujanji utama di dalam Manifesto Parti Cinta Sabah sejak pilihan raya lepas lagi adalah memperkenalkan “Recall Petition” (petisyen semula), sebagai langkah untuk menghentikan budaya melompat parti.

“Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Haji Aman pernah menyatakan bahawa perkara ini adalah budaya politik yang menjengkelkan…

Datuk Seri Anifah Aman…

“Rakyat sudah beri kepercayaan kepada pemimpin yang bertanding di bawah panji sesebuah parti, namun bila dia melompat parti, si pelaki mengkhianat kepada undi rakyat yang telah diberikan.

“Dari sudut tempatan Sabah, sekian lama sudah negeri kita dibelenggu dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi akibat budaya melompat parti,” katanya.

Zakariah berpendapat bahawa banyak permasalahan yang timbul dalam senario politik Malaysia adalah kerana wujudnya golongan pemimpin yang melompat keluar (lompat parti) dan masuk ke parti-parti lain.

Menurutnya, hal ini biasa terjadi akibat tamak kuasa, tetapi ia juga berleluasa akibat ketiadaan langkah perlindungan dalam menangani budaya melompat parti.

“Meskipun PCS menghormati hak mana-mana pemimpin hatta orang biasa untuk bebas menyertai mana-mana parti politik, namun kita harus mengambil langkah untuk menghentikan bahana dan akibat teruk yang datang daripada budaya melompat parti sepertimana yang sering berlaku kini…

“Akujanji “Recall Petition” yang PCS telah lama cadangkan adalah satu gubalan perundangan yang membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya terus mengumumkan kerusi seseorang ADUN sebagai telah dikosongkan, sekiranya ADUN tadi berlaku curang dan mengkhianati parti dengan melompat parti, meletak jawatan daripada parti, atau dipecat parti atas alasan yang munasabah.

“Ini bermakna, individu tadi kini bebas memilih ingin bersama mana-mana parti politik. Nak lompat, lompatlah. Cumanya, Pilihan raya kecil atau PRK akan diadakan supaya mandat dapat dikembalikan kepada rakyat untuk membuat pilihan,” jelasnya.

Beliau berkata PCS akan terus berusaha memastikan perundangan berkaitan “Recall Petition” ini akan digubal dan dilaksanakan demi masa depan Sabah yang lebih stabil.