KANGAR, PERLIS – Tukang cuci sambilan bakal dipenjara 10 tahun atas kesalahan mencuri tabung dan wang RM40 di Masjid Sirajuddin, Padang Pauh pada bulan lalu.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Nor Amira Roslan, 28, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret baru-baru ini atas kesalahan tersebut.
Majistret Kamaliza Md Zain yang membaca pertuduhan itu mengatakan tertuduh melakukan kesalahan mencuri dalam bangunan dengan mencuri RM40 yang terdapat pada tabung Masjid Sirajuddin, Padang Pauh pada 28 Ogos lalu jam 8.54 malam.
Dia didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Sksyen 380 Kanun Kesksaan di mana sabit kesalahan boleh dihukum pnjara sehingga 10 tahun.
Serta denda dan jika ia kesalahan kedua atau berulang, tertuduh boleh dipnjara dan dikenakan denda atau sebatan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Iman Nor Azmi.
Nur Iman dalam hujahnya berkata, anak guamnya mengaku tidak bersalah disebabkan dia tidak mencuri wang sebanyak RM40 sebaliknya RM28 saja.
Selain itu, Nur Iman memohon mahkamah meringankan jumlah jaminan disebabkan tertuduh mempunyai tanggungan seorang anak yang masih kecil berusia empat tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes selain memerintahkan tertuduh membayar sebanyak RM2,000 sebagai jaminan.
Tertuduh bagaimanapun mengambil keputusan tidak membayar yang menyebabkannya ditahan sementara di Pusat Koreksional Perlis sementara menantikan tarikh sebutan semula kesnya.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang wanita disyaki melarikan tabung derma masjid di Padang Pauh, di sini, pada 28 Ogos lalu.
Suspek ditahan di rumahnya di Arau pada 9.15 malam 29 Ogos lalu.
Tabung yang dicuri itu ditemukan dalam tandas di Pasar Beseri.