Banjir Kilat Disebabkan 2 Jam Hujan Lebat Luar Biasa – Tuan Ibrahim

Banjir Kilat Disebabkan 2 Jam Hujan Lebat Luar Biasa – Tuan Ibrahim

0
SHARE
Banjir kilat yang berlaku di Ibu Negara semalam...

KUALA LUMPUR – Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan bahawa banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur petang semalam adalah berpunca daripada hujan lebat luar biasa yang berlarutan selama dua jam.

Beliau berkata, bacaan kadar taburan hujan yang tinggi dengan bacaan 106.5 milimeter (mm) direkodkan di Stesen Taman Desa Smart, Kuala Lumpur.

“Bacaan lebih tinggi pula direkodkan di Stesen Air Panas dengan bacaan 155 milimeter hanya dalam tempoh dua jam…

“Dalam tempoh setahun, bacaan hujan adalah 2,500 mm menjadikan purata bacaan kira-kira 200 mm sebulan, namun dalam tempoh dua jam sahaja bacaan yang direkodkan adalah melebihi 106 mm iaitu lebih setengah purata bulanan,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, kejadian banjir itu juaga telah menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi.

Tambahnya lagi, semua infrastruktur sistem kawalan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPSWKL) telah beroperasi dengan baik mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Terowong SMART juga berkesan cuma air banyak sangat dalam beberapa jam dan ia berisiko. Tapi akan datang kita rancang untuk tinggikan ban di sungai dan tingkatkan hebahan melalui ramalan MetMalaysia.

“Ia adalah supaya ketepatan ramalan ditingkat dan pada masa sama, kita juga galakkan masyarakat terlibat dalam usaha memberikan laporan,” jelasnya.