KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Belanjawan 2026 akan menyaksikan pengembangan dalam perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus (OE) Persekutuan; RM81 bilion belanja pembangunan (DE) Persekutuan; RM30 bilion pelaburan syarikat pelaburan awam berkaitan kerajaan (GLIC); RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
“Sambil mengekalkan komitmen pada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA), momentum pertumbuhan terus didukung dasar fiskal yang mengembang.
“Belanjawan 2026 akan mengumpul dan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC, Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat MKD melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu,” katanya.






