SEMPORNA: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Republik Rakyat China ditahan dalam Operasi Bersepadu yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di daerah ini pada 10 dan 11 Mac lalu.
Operasi itu turut mengesan pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan penguatkuasaan dan rampasan dianggarkan RM491,413.76.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos berkata operasi dijalankan susulan aduan orang awam mengenai penglibatan warga asing yang dipercayai mengendalikan aktiviti operator serta perniagaan pelancongan secara tidak sah di sekitar Semporna.
“Operasi ini juga merupakan tindakan penguatkuasaan susulan terhadap isu penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial oleh warga asing untuk menjalankan aktiviti perniagaan, khususnya dalam sektor pelancongan di kawasan ESS Zone,” katanya dalam kenyataan.
Operasi bersepadu itu melibatkan 231 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa jabatan Persekutuan dan negeri.
Sebanyak 41 resort dan premis perniagaan diperiksa di sekitar bandar dan perairan Semporna termasuk kawasan koloni setinggan, pinggir bandar dan kampung.
Daripada 48 individu yang diperiksa, 20 dikenal pasti sebagai PATI dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Semporna untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Dalam operasi sama, pelbagai agensi turut mengesan beberapa kesalahan lain termasuk 41 kompaun oleh Jabatan Tenaga Kerja di bawah Akta Kerja 1955, lapan kompaun oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta dua kompaun oleh Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
Majlis Daerah Semporna pula mengeluarkan 19 kompaun berkaitan kesalahan perniagaan tanpa lesen dan pelanggaran peraturan premis.
Selain itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM20,153.76 termasuk cukai, manakala Jabatan Hidupan Liar Sabah merampas tiga plastik mengandungi daging penyu serta 111 plastik daging babi hutan dengan nilai dianggarkan RM3,260.






