
KUALA LUMPUR – Sebanyak LAPAN (8) unit kediaman di tingkat lima Flat Sri Johor, Cheras, musnah dalam kebakaran malam ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, kebakaran berlaku pada kira-kira jam 9.20 malam tadi dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.
“Setakat ini, bomba masih menyiasat sama ada kejadian membabitkan kemalangan jiwa. Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, bomba memaklumkan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan penghuni lapan unit kediaman tersebut.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 9.17 malam dan seramai 35 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Hang Tuah, BBP Sri Hartamas, BBP Keramat dan BBP Cheras digegaskan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran memusnahkan 100 peratus keseluruhan tingkat empat itu. Operasi pemadaman menggunakan teknik ‘water tower’ jentera khas Aerial Ladder Platform (ALP) dan Turn Table Ladder (TTL),” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim turut meninjau kejadian pada malam tadi.
