PENAMPANG, SABAH – Sambutan Kaamatan Peringkat Negeri tahun ini yang dilangsungkan secara maya terus memperkasa semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Datuk Seri Jeffrey Kitingan, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Kaamatan Peringkat Negeri tahun ini, berkata buat pertama kali dalam sejarah Kaamatan ada pemenang Unduk Ngadau (pertandingan kecantikan) memakai sendiri selempang dan mahkota kemenangan demi menjaga jarak fizikal.
“Semua program-program dan aktiviti-aktiviti Kaamatan telah diatur dan dikendalikan dengan pematuhan SOP yang ketat tanpa kehadiran penonton dan orang awam…
“Orang ramai boleh menyaksikan program dan aktiviti Kaamatan dengan selesa di rumah masing-masing melalui media perdana dan media sosial khususnya Kaamatan TV.
“Dalam perspektif ini, Kaamatan pada tahun ini telah sedikit sebanyak membantu Malaysia mempromosi budaya dan keunikan masyarakat negeri Sabah bagi menarik lebih ramai pelancong pada masa hadapan.
“Format perayaan Kaamatan secara maya memperkenalkan Sabah kepada dunia dan diharap boleh membuka peluang pelaburan asing yang lebih luas lagi,” katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran pesta Kaamatan bertema “Kaamatan Tanpa Sempadan demi Perdamaian dan Keamanan,” di dewan KDCA sini siang tadi.
Katanya pada tahun ini, Jawatankuasa Induk Kaamatan telah memperkenalkan program ‘Seed Spiritual Revival’ (SSR) bertujuan untuk mengenal pasti, mengumpul dan mendokumentasi pelbagai spesis tumbuhan asli Sabah yang mungkin sedang diancam kepupusan.
“Program ini telah dilancarkan pada 22 Mei 2021 sempena Hari Biodiversiti Sedunia dan turut dihadiri oleh United Nations Development Programme (UNDP) Resident Representative for Malaysia, Singapore and Brunei Darussalam secara online…
“Selain acara tradisi Unduk Ngadau (pertandingan kecantikan) dan Sugandoi (pertandingan menyanyi), acara-acara lain seperti pertandingan HiiS (Puisi), Manangon (Bercerita) dan Tarian Etnik Kreatif mendapat sambutan penyertaan yang amat memberangsangkan,” katanya.
Perayaan Kaamatan telah menjadi wadah penting bagi melahirkan bakat-bakat seni dalam kalangan golongan muda berbakat tinggi di Sabah.
Jeffrey juga mencadangkan pewujudan mekanisme yang lebih sistematik bagi pembangunan industri seni di Sabah.
“Program Unduk Ngadau telah diadakan sejak 61 tahun lalu sebagai simbolik legenda Huminodun. Saya berpendapat sudah tiba masanya untuk mengangkat Unduk Ngadau ini ke satu tahap yang lebih tinggi dan menyumbang kepada pembangunan kaum wanita secara lebih holistik,” tambah beliau.





