UMNO Parti Berbakti, Punya Rekod Cemerlang – Salleh Said Keruak

UMNO Parti Berbakti, Punya Rekod Cemerlang – Salleh Said Keruak

0
SHARE

TAWAU: “UMNO bukan parti ikut-ikut. Ia parti yang tersusun, berstruktur dan telah terbukti berbakti kepada rakyat dengan rekod pencapaian yang jelas,” tegas Datuk Seri Salleh Said Keruak semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Kalabakan di Inderaloka Grand Ballroom, Tawau hari ini.

Menurut beliau, UMNO memiliki kerangka organisasi yang kukuh serta pengalaman luas dalam mentadbir dan membangunkan negeri Sabah.

“UMNO telah bertapak di Sabah lebih 30 tahun. Ia hadir untuk membela dan memakmurkan negeri ini. Konsep parti tempatan tidak boleh dijadikan alasan untuk berpolitik demi kepentingan kelompok kecil,” tambah beliau.

Salleh turut menekankan bahawa 80 peratus pembangunan di Sabah adalah hasil peruntukan daripada kerajaan Persekutuan. Justeru, kerjasama kukuh dalam gabungan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan dan ‘plus-plus’ di Sabah merupakan formula terbaik untuk menjamin kestabilan dan kesinambungan pembangunan negeri.

“Di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri yang telah dipersetujui di Kalabakan, kita yakin UMNO berada dalam kedudukan terbaik untuk menang. Asas kekuatan kita ialah penyatuan serta keyakinan rakyat terhadap rekod khidmat dan perjuangan UMNO,” jelasnya.

Salleh turut mengingatkan bahawa perpaduan dalam kalangan pemimpin parti amat penting menjelang pilihan raya akan datang.

“Pemimpin UMNO perlu terus rapat dan tidak bergaduh soal jawatan. Fokus kita adalah berkhidmat, bukan berkelahi. Rakyat menilai rekod dan kesungguhan, bukan retorik,” tegasnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Bahagian UMNO Kalabakan, Tuan Samasuddin Yusop; Ketua Bahagian UMNO Tawau, Tuan Ghazalie Ansing; Exco Barisan Pemuda Nasional Malaysia, Dato’ Sri Anil Sandhu; serta Setiausaha Politik Ketua UMNO Sabah, Datuk Ir. Aziz Julkarnain.