Pemuda PBS Sedia Gerakkan Jentera Untuk GRS

Pemuda PBS Sedia Gerakkan Jentera Untuk GRS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jentera Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) telah bersedia sepenuhnya untuk digerakkan bagi mempertahankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut menegaskan, pihaknya komited untuk memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi serta mempertahankan GRS demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri ini.

“Kita mengimpikan pentadbiran yang stabil dan berdaya saing seperti yang telah dibuktikan di Sarawak, dan saya percaya Sabah mampu mencapai impian itu melalui kekuatan GRS.

“Sebagai Ketua Pemuda PBS, saya menyambut baik ketegasan dan kesiapsiagaan GRS dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya juga yakin GRS mempunyai kekuatan tersendiri untuk berhadapan dengan apa jua senario politik, termasuk bertanding secara bersendirian jika perlu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, gabungan ini dipimpin oleh tokoh-tokoh berpengalaman dan berpandangan jauh.

“Saya percaya Ketua Menteri dan seluruh kepimpinan GRS memiliki strategi yang mantap untuk mempertahankan gabungan ini dan memastikan kestabilan politik di Sabah terus terpelihara,” tegasnya.

Semalam Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa, GRS bersedia bertanding secara solo sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah memuktamadkan kerjasama menjelang PRN 17.

Hajiji turut menyatakan bahawa GRS akan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang berkongsi matlamat dan hala tuju yang sama demi menghadapi PRN 17 dengan lebih tersusun.