643 Peniaga Kecil Tepi Jalan Seluruh Sabah Bakal Terima Bantuan One-Off RM5,000

643 Peniaga Kecil Tepi Jalan Seluruh Sabah Bakal Terima Bantuan One-Off RM5,000

0
SHARE

KUNDASANG: Seramai 643 peniaga gerai kecil tepi jalan di seluruh Sabah telah dikenal pasti layak menerima Bantuan One-Off berjumlah RM5,000 seperti yang diumumkan dalam pembentangan Bajet Negeri Sabah 2025.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang mengumumkan ini berkata, senarai penerima bantuan itu dimuktamadkan selepas proses verifikasi menyeluruh dilakukan oleh satu jawatankuasa khas melibatkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Kementerian Kewangan Negeri serta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Program turun padang telah dijalankan bagi mendapatkan data peniaga gerai kecil tepi jalan di semua daerah. Setelah penelitian dibuat berdasarkan mekanisme yang ditetapkan, seramai 643 peniaga telah dikenal pasti layak menerima bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kick-Off Penyerahan Bantuan Usaha Naik Taraf Untuk Komuniti dan Masyarakat Umum (UNTUKMU) peringkat negeri Sabah di Pentas Budaya Kundasang pada Khamis.

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, daripada jumlah itu, seramai 47 penerima dari daerah Ranau menerima bantuan tersebut hari ini dalam bentuk sumbangan tunai one-off bernilai RM5,000 setiap seorang.

Katanya, inisiatif itu adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap nasib peniaga kecil yang berdepan cabaran seperti kos operasi yang meningkat, kekurangan modal dan lokasi perniagaan yang tidak tetap.

Beliau turut menganggap peniaga kecil sebagai penggerak ekonomi mikro yang berperanan penting dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

“Semoga bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya, sama ada untuk membeli peralatan, sebagai modal tambahan, atau memperkembangkan lagi perniagaan sedia ada,” katanya.

Majlis hari ini turut menyaksikan penyerahan mock cheque kepada pihak PBT yang terlibat sebelum pengagihan bantuan secara berperingkat ke daerah-daerah lain dilaksanakan.