SIPITANG, SABAH – Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni menyantuni kira-kira 100 jemaah Majlis Bacaan Yasin Bersama Yayasan Nur Jauhar (YNJ).
Toh Puan Norlidah yang juga Penasihat YNJ meluangkan masa lebih kurang dua jam untuk beramah-mesra dan mengeratkan silaturahim, sambil bertukar pandangan mengenai fardhu ain dan fardhu kifayah bersama-sama jemaah daripada gabungan kelas pengajian Al-Quran dari sekitar daerah terbabit serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Daerah Sipitang di Dewan Serbaguna Sipitang.
Hadir mengiringi beliau ialah Isteri ADUN Sindumin Datin Azizah Beniaman, Isteri Ahli Parlimen Sipitang Datin Norain Kipleh, Pengerusi PUSPANITA Daerah Sipitang Noraini Ramli, Penolong Pegawai Daerah, Razan Zawani Asl dan Penolong Setiausaha Kehormat YNJ, Datin Al Hana Juhar.
Kehadiran Toh Puan Norlidah di daerah berkenaan adalah bersempena dengan Program Ziarah Kasih Ke Zon Pantai Barat dan Pedalaman Bawah selama dua hari mulai Isnin. — JABATAN PENERANGAN SABAH