Seleweng 17,195 Liter Diesel Di Kionsom, Seorang Individu Didenda RM50,000

Seleweng 17,195 Liter Diesel Di Kionsom, Seorang Individu Didenda RM50,000

0
SHARE
Kpdn
KPDN Sabah menyita tangki berisi 17,195 liter diesel kepunyaan yang tertuduh ( Sumber Foto: Ihsan KPDN Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang individu telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau 30 hari penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu (13 Dis) kerana menyeleweng 17,195 liter diesel.

Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Noor Hafizah Mohd Salim telah menjatuhkan hukuman denda ke atas Manogaran Supaya, 67, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan.

Mahkamah juga telah memerintahkan agar hasil jualan ekshibit bagi kes iaitu sebanyak RM37,141.20 dijadikan sebagai hasil kerajaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Thomas Chua dibantu oleh Kenny Jaikol Yangah selaku Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah.

Berdasarkan pertuduhan, Manogaran didakwa kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel berjumlah 17,195 liter di sebuah stor tidak bernombor di kampung Kionsom, Inanam pada 27 Februari 2023.

Perbuatan lelaki terbabit menimbulkan syak munasabah telah melanggar Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu dalam perjalanan perniagaan telah menggunakan dan mengambil barang berjadual iaitu minyak diesel melebihi had kuantiti 20 liter yang dinyatakan dalam Ruang 2 Jadual Bahagian IV Peraturan yang sama.