LONDON – Gelombang haba yang melanda Atlantik Utara, tahun ini, berkemungkinan akan membawa bencana terhadap bekalan ikan dan sumber mata pencarian.
Agensi berita Jerman (dpa) melaporkan amaran berkenaan diberikan oleh saintis dan Persatuan Pemuliharaan Marin (MCS).
Suhu permukaan laut telah melonjak melangkaui rekod sebelumnya sejak awal Mac lalu dengan mencecah hingga lima darjah Celsius melebihi purata jangka panjang.
Malah, ia diklasifikasikan sebagai ‘melebihi ekstrem’ oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), iaitu kategori tertinggi.
Perubahan iklim disebabkan manusia, telah memanaskan lautan secara berterusan sehingga mengakibatkan penyerapan 90 peratus haba berlebihan daripada pelepasan gas rumah hijau.
Kejadian semula jadi seperti perubahan tiupan angin pula mendorong suhu lautan Atlantik Utara mencatat paras tertinggi, kata saintis.
El Nino yang merupakan peristiwa semula jadi turut memberi kesan apabila menaikkan purata suhu lautan dan udara di seluruh dunia.

Bagaimanapun, menurut saintis, kesannya tiada kaitan dengan gelombang haba di Atlantik Utara.
Pakar berkata, perubahan iklim mengubah garis dasar suhu, menjadikan gelombang haba berlaku lebih kerap serta lebih ekstrem, bahkan boleh memusnahkan beberapa kehidupan marin.
Dr Christopher Free dari Institut Marin di Universiti California di Santa Barbara, berkata dalam tempoh dekad lalu, gelombang haba marin telah mengganggu sektor perikanan di seluruh dunia.
“Jika keadaan di Atlantik Utara kekal panas, malapetaka serupa mungkin akan berlaku,” katanya.
Ikan yang habitatnya terletak di antara pantai timur Amerika Utara dan United Kingdom (UK) serta Eropah Barat, bergantung pada perairan lebih sejuk untuk bertelur.
Sebagai contoh, spesies ‘Norwegian spring spawning herring’ menurun 40 peratus sejak 2009, yang dilihat sebagai disebabkan oleh pemanasan lautan.
MCS bimbang suhu lautan semakin tinggi serta pengurusan antarabangsa yang lemah, akan membawa kepada masalah bekalan ikan dan menyebabkan beribu-ribu orang hilang pekerjaan.
Dr Olav Sigurd Kjesbu dari Institut Penyelidikan Marin di Norway pula berkata: “Kami tahu stok ikan pelagik ini sensitif terhadap perubahan suhu. Kami melihat iklim mempengaruhi pertumbuhannya, keupayaan untuk bertelur dan kadar kematian.”
Beliau berkata, pemanasan laut yang pantas boleh mempercepatkan lagi perubahan itu.