Kebakaran Itu Pasti, Keselamatan Terletak Pada Kita

Kebakaran Itu Pasti, Keselamatan Terletak Pada Kita

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah kebakaran tragik di PPR Sentul, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu meragut nyawa dua beranak, iaitu seorang lelaki berusia 58 tahun dan ibunya yang berusia 82 tahun.

Mayat mereka ditemui dalam tandas rumah mereka, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.

Operasi pemadaman berjaya dikawal, tetapi insiden itu mencetuskan kesedihan penduduk setempat dan tular di media sosial melalui video rakaman kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid, menyifatkan kejadian itu sebagai peringatan bahawa kebakaran adalah sesuatu yang pasti akan berlaku. 

Beliau menekankan bahawa walaupun kebakaran tidak dapat diramal, setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk mencegah dan memadam kebakaran.

“Api semasa kecil adalah kawan, bila besar menjadi lawan. Kita perlu berperanan mencegah lebih awal dan bersedia memadam kebakaran yang berlaku,” katanya.

Menurut beliau, ilmu pemadaman kebakaran amat penting supaya setiap orang dapat menjadi petugas kecemasan pertama yang berani dan yakin ketika berhadapan dengan kebakaran yang baru bermula.

“Tindakan pantas dan bijak mampu mengelakkan tragedi daripada bertukar menjadi bencana yang meragut nyawa,” tegasnya.

Sumsoa juga menekankan bahawa dalam menghadapi kebakaran, setiap individu perlu menyedari tiga perkara yang tidak pasti iaitu lokasi kejadian, mangsa yang terlibat, dan waktu kebakaran berlaku, serta memainkan peranan penting dalam mencegah dan memadam bencana.