PETALING JAYA: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Masidi Manjun, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlakunya rasuah dan pelanggaran peraturan pilihan raya semasa Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 (PRU17), susulan tindakan semakan kehakiman yang difailkan oleh seorang calon bebas bagi mencabar kemenangannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Masidi berkata dakwaan yang dibangkitkan oleh Naomi @ Neomi Francis adalah tidak berasas, tidak disokong fakta serta disifatkan sebagai cubaan melemahkan proses demokrasi dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya.
“Saya menafikan secara tegas sebarang dakwaan amalan rasuah atau pelanggaran peraturan pilihan raya semasa PRN Sabah lalu,” katanya.
Beliau menegaskan kempen GRS sepanjang PRN dijalankan mengikut undang-undang serta berlandaskan prinsip ketelusan dan integriti. Namun, Masidi mengakui dalam sebuah negara demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membawa tuntutan ke mahkamah.
“Kami kekal komited mempertahankan nilai demokrasi dan memastikan suara rakyat terus dihormati,” katanya.
Terdahulu, Naomi dilaporkan memfailkan permohonan kebenaran di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi membatalkan pengisytiharan keputusan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta menuntut pilihan raya baharu diadakan di Karanaan.
Menurut laporan Malaysiakini, permohonan itu ditetapkan untuk sebutan pada 4 Februari tahun depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Alexander Siew, dengan Masidi dan SPR dinamakan sebagai defendan.
Naomi mendakwa SPR gagal melaksanakan tanggungjawab undang-undang dan perlembagaannya bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara adil, selain mendakwa wujud amalan rasuah termasuk pembelian undi dan pengaruh tidak wajar terhadap pengundi, dengan pemberian wang tunai antara RM100 hingga RM200 di beberapa lokasi.
Beliau turut mendakwa berlaku ketidakaturan material dalam proses pengundian, termasuk isu akses ejen pengundian serta pengendalian Borang 14.
Pada PRN Sabah lalu, Masidi memenangi kerusi DUN Karanaan dengan majoriti besar 5,361 undi dalam pertandingan tujuh penjuru, manakala Naomi hanya memperoleh 115 undi.






