KOTA BELUD, SABAH – Pasukan Pemusnah Bom Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diatur gerak membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam misi memusnahkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua di Pulau Mantanani, sini, Isnin lepas.
Kumpulan TLDM dianggotai Pasukan Selam bersama Juruteknik Peluru Depot Peluru dan Letupan Timur diketuai oleh Kdr Mohammad Nasrul Mat Daut.
Terdahulu, TLDM menerima permohonan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud untuk memeriksa suatu objek yang disyaki bom lama di pesisiran pantai Pulau Mantanani.
“Hasil siasatan dan temubual saksi, pasukan Pemusnah Bom TLDM telah mengesahkan objek berkenaan adalah bom yang tidak aktif,” kata seorang jurucakap bagi Markas Pemerintahan Armada Timur dalam sebuah kenyataan.
Jelasnya, bom berkenan jenis AN- M58 Semi Armour Piercing Bomb buatan Amerika Syarikat seberat 226 kilogram.
“Pasukan TLDM membawa bom tersebut ke daratan dari air lebih sedalam satu meter lebih kurang 80 meter daripada pesisiran pantai Kampung Matanani.
“Bom tersebut seterusnya berjaya diletupkan pada sebelah petang dengan selamat.
“Bangkai bom di bawa balik ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu,” tambahnya.





