BEAUFORT, SABAH – Dua buah persatuan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan Sabah, Persatuan Pendidikan Usahawan dan Persatuan Mesra Alam Sekitar Sabah (MASESA) bekerjasama mengagihkan sumbangan air mineral dan pelitup muka kain di empat buah kampung di Beaufort, semalam iaitu Kampung Bengkalalak, Kampung Mentulud, Kampung Kuala Balik dan Kampung Beringin.
Persatuan Pendidikan Usahawan (EEA) telah menyumbangkan 500 karton air mineral hasil kutipan wang dari ahli persatuan manakala MASESA pula membantu mengagihkan 540 pelitup muka kain hasil sumbangan Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah.
Wakil Persatuan Pendidikan Usahawan (EEA) Kelvin Chin berkata usaha agihan tersebut dimulakan setelah pihaknya menerima surat daripada salah seorang wakil dari Kampung Kuala Balik yang memohon sumbangan air mineral berikutan majoriti penduduk dari daerah terbabit berdepan kesukaran mendapatkan air bersih.
“Disebabkan itu, hasil perbincangan bersama ahli majlis tertinggi, kami mengumpul wang bagi membeli air mineral untuk disumbangkan di empat buah kampung yang memerlukan bekalan air bersih di sana…
“Selain itu, pihak MASESA juga turut berbincang dan memaklumkan dengan pihak kami terdapat pautan yang tular di laman media sosial Facebook mengenai beberapa individu di Beaufort yang memohon sumbangan air mineral ketika banjir melanda di sana, baru-baru ini.
“Oleh itu, kami memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan bergerak bersama MASESA untuk mengagihkan sumbangan bagi golongan memerlukan di sana,” katanya.
Sementara itu, Presiden MASESA, Ainie Jamin berkata pelitup muka kain yang diagihkan di empat kampung terbabit bagi menggalakkan penduduk sana untuk mengurangkan sampah pelitup muka pakai buang dengan memakai pelitup muka kain khususnya di kawasan atau premis yang tidak kritikal dengan pendedahan COVID-19.
“Sebagai NGO alam sekitar, kami menggalakkan penduduk kampung memakai pelitup muka kain di tempat yang kurang berisiko sebagai usaha untuk mengurangkan pembuangan pelitup muka pakai buang yang dibuang di merata-rata tempat dan juga menjaga alam sekitar…
“Pembuangan pelitup muka pakai buang yang telah digunakan amat berbahaya jika tidak dibuang dengan cara betul kerana berpotensi tinggi terdedah dengan virus COVID-19,” katanya.
Di samping mengagihkan sumbangan di empat kampung itu, kedua-dua EEA dan MASESA yang juga merupakan NGO yang cenderung menjaga alam sekitar itu turut mengagihkan nota kecil bercetak bagi menyampaikan mesej agar penduduk kampung lebih prihatin dan peka menguruskan botol air mineral supaya tidak mencemarkan alam sekitar.