STAR Sokong Kerajaan Perpaduan Demi Kestabilan Politik – Jeffrey

STAR Sokong Kerajaan Perpaduan Demi Kestabilan Politik – Jeffrey

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan menjelaskan bahawa keputusan parti itu menyokong kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat berdasarkan kehendak majoriti ahli parti serta ketua-ketua bahagian.

Menurut beliau, sokongan tersebut diberikan demi memastikan kestabilan politik negeri, memandangkan GRS yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tidak memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan secara sendiri selepas pilihan raya negeri.

“GRS mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik, dan itu juga seiring dengan pendirian STAR. Oleh itu, adalah wajar untuk kami menyokong kerajaan perpaduan ini. Pilihan raya sudah selesai dan kini masa untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Jeffrey menegaskan bahawa keputusan berkenaan tidak bermaksud STAR meninggalkan perjuangannya, sebaliknya parti kekal konsisten memperjuangkan hak Sabah sama ada berada di pihak kerajaan atau pembangkang.

Walaupun pelantikan ADUN STAR, Ishak Ayub, sebagai pembantu menteri diumumkan pada hari sama, Jeffrey menegaskan beliau sendiri kekal sebagai pembangkang.

“Kita bukan duduk dalam GRS, kita bantu GRS tubuh kerajaan perpaduan demi kestabilan politik selepas PRU17, kerana itulah yang rakyat mahukan berdasarkan keputusan pilihan raya,” katanya lagi dalam satu kenyataan berasingan.