SANDAKAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOK) melaksanakan Program Tanaman Terapi sebagai pendekatan pemulihan berasaskan alam untuk pesakit rehabilitasi Mentari Elopura.
Program selama tiga bulan itu, bermula 1 September hingga 30 November 2025, diterajui Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HDOK dengan kerjasama Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS Kampus Sandakan.
Ia bertujuan memperkenalkan terapi berasaskan aktiviti pertanian bagi meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal pesakit.
Penasihat Program Komuniti UMS–HDOK, Dr. Siti Suliza Salamat berkata, tanaman dipilih sebagai medium terapi kerana sifatnya yang menenangkan, mudah diurus serta membantu membina rutin harian positif.
“Pesakit berpeluang belajar mengurus emosi, meningkatkan fokus dan membina keyakinan diri apabila melihat hasil usaha mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata program berkenaan turut mengukuhkan hubungan strategik antara UMS dan institusi kesihatan, selain memperkasakan peranan universiti dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat.
Sementara itu, Pegawai Perubatan HDOK merangkap Penyelaras Program Terapi Pesakit Mentari, Dr. Rozelle Ashwini Walters berkata seramai lapan pesakit bersama 11 petugas kesihatan terlibat dalam siri lawatan dan sesi perkongsian ilmu sepanjang program tersebut.
Menurutnya, pembelajaran dalam suasana alam semula jadi membantu meningkatkan motivasi, tumpuan dan interaksi sosial peserta.
Jurupulih Perubatan Carakerja HDOK yang juga pengurus aktiviti tanaman terapi, Abd Malik Talinasis berkata program itu menunjukkan potensi besar sebagai kaedah pemulihan sokongan yang praktikal dan mudah diaplikasi.
“Melihat perkembangan positif pesakit, kami berharap program ini dapat diteruskan serta diperluas supaya lebih ramai pesakit memperoleh manfaat,” katanya.
Pada 17 November lalu, peserta turut mengikuti lawatan pembelajaran ke FPL UMS Sandakan, merangkumi tunjuk ajar mengenai ternakan lembu, kambing dan arnab, proses vermikompos, serta lawatan ke plot getah dan kopi. Sesi fotografi di mercu tanda UMS Sandakan berhampiran Tasik FPL turut menjadi sebahagian pengisian.
Kemuncak program menyaksikan pembentangan hasil Projek Tanaman Terapi, di mana pesakit berjaya mengusahakan tanaman seperti taugeh, sawi, kangkung serta tanaman tong seperti serai, kunyit dan ubi keledek di bawah bimbingan tenaga pengajar.
Program ini turut mendapat sokongan pensyarah dan kakitangan FPL UMS Sandakan termasuk Prof. Madya Dr. Azwan Awang, Dr. Nurul Mayzaitul Azwa Jamaludin dan Dr. Nur Aainaa Hasbullah, bersama pegawai dan pembantu teknikal fakulti.
Dalam kenyataan, FPL menyatakan harapan agar kerjasama itu dapat dijadikan model pemulihan komuniti berasaskan integrasi alam, pendidikan dan nilai kemanusiaan, sekali gus mempromosikan pertanian sebagai bidang yang memberi impak kepada kesejahteraan dan pembangunan masyarakat.






